Suzy Honey Herbs, Nisa Bakri Bantu Ibu Berpantang

BEBAS NEWS

PRODUK Suzy Honey Herbs adalah di antara jenama yang sering menjadi perhatian wanita yang bakal bersalin. Suzy Honey Herbs yang diasaskan oleh Suzimah Hazish atau mesra disapa Suzy adalah pengeluar produk kecantikan dan kesihatan yang berasaskan herba.

Sudah enam tahun Suzy menggerakkan Suzy Honey Herbs dan hingga kini syarikat tersebut mempunyai hampir 80 rangkaian produk termasuk Set Pantang yang dibuat menggunakan herba semula jadi.

Jika perniagaan lain terkesan kerana pandemik Covid-19, jualan produk Suzy Honey Herbs pula semakin meningkat. Bagi Suzy, permintaan yang tinggi membawa rahmat bukan saja kepada dirinya, tetapi kepada stokis dan ejen produk tersebut.

“Alhamdulillah, sejak memulakan perniagaan ini pada 2015, saya dapat melihat perkembangannya. Kami mempunyai rangkaian stokis dan ejen di seluruh negara dan pada awal 2020 produk Suzy Honey Herbs berjaya menembusi pasaran Indonesia.

Dua wanita ini mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Sambutan yang kami terima di luar jangka kerana kita sedia maklum di Indonesia sudah ada herbanya tersendiri. Produk yang kami hasilkan tidak terjejas kerana ia merupakan keperluan kepada setiap wanita yang bersalin,” katanya tentang Set Pantang yang mendapat sambutan menggalakkan itu.

Jelas Suzy, produk yang dihasilkan mendapat kepercayaan ramai kerana ia diperbuat daripada herba semula jadi segar yang terdapat di kawasan Hulu Dungun. Selain itu, mereka juga mempunyai ladang yang menanam pelbagai pokok herba termasuk tongkat ali, kacip Fatimah dan misai kucing.

“Untuk menghasilkan produk herba, saya berguru dengan arwah Dr. Ghani seorang pakar herba di Langkawi dan mengikuti kelas dengan beberapa pakar herba yang lain.

Junita (dua dari kiri) turut terlibat dalam kolaborasi antara ibunya, Nisa dengan Suzy Honey Herbs.
“Selain itu saya banyak belajar tentang pokok herba ini bila sering keluar masuk hutan dan bertemu dengan Tok Batin Orang Asli. Mereka banyak berkongsi rahsia tentang herba yang terdapat dalam hutan,” katanya.

Jelas Suzy, apabila mengeluarkan produk lengkap untuk wanita bersalin, ada pula pengguna yang bertanya tentang set makanan sewaktu tempoh berpantang.

Untuk tidak menghampakan permintaan pelanggan, Suzy berusaha mencari rakan kongsi yang boleh menghasilkan makanan sihat untuk wanita dalam pantang.

Menurut Suzy, tercetusnya idea untuk bekerjasama dengan Puan Sri Nisa Bakri kerana beliau pernah mengikuti kelas masakan wanita tersebut dan kagum dengan ketelitian Nisa menyediakan makanan.

“Puan Sri Nisa sangat teliti dalam pemilihan makanannya dan saya adalah salah seorang anak murid yang sertai kelas masakan beliau secara online. Saya tengok dia sangat teliti dan semua herba yang dia guna segar dan saya rasa dia adalah yang terbaik.

“Saya pun melamar Puan Sri dan beritahu dia yang saya ada produk, rangkaian stokis dan ejen. Apa yang saya perlu adalah makanan dan minuman sewaktu berpantang. Tak sangka lamaran saya diterima dan jadilah kerjasama antara Suzy Honey Herbs dengan Nisa Bakri,” jelasnya.

Bagi Nisa yang merupakan usahawan masakan itu menganggap lamaran daripada Suzy itu kena pada waktunya kerana sudah lama beliau berhasrat untuk menghasilkan buku resipi bagi wanita bersalin.

“Sudah lama saya berhasrat nak buat resipi untuk ibu berpantang, cuma menunggu masa dan waktu yang sesuai untuk pasaran kerana ia membabitkan sasaran tertentu saja.

“Bila Suzy datang, saya rasa inilah waktunya kerana dia ada produk yang selari dengan makanan yang sihat. Semuanya berlaku dalam sebulan. Bila saya nampak sesuatu yang bagus saya tak fikir lama,” katanya yang pernah menghasilkan buku resipi I Am Not A Chef.

Bersama para stokis yang aktif menjual produk Suzy Honey Herbs.
Beliau berharap buku yang bakal diterbitkan dengan memuatkan 25 menu makanan sihat termasuk lima jenis sup itu dapat dikeluarkan selewat-lewatnya bulan depan.

Buku tulisan Nisa itu akan dijual bersama dengan Set Pantang keluaran Suzy Honey Herbs. Selain menghasilkan buku resipi untuk wanita berpantang, beliau juga bercadang mengeluarkan makanan sejuk beku (frozen food).

“Saya akan buat buku resipi untuk wanita berpantang dan juga makanan sejuk beku untuk mereka. Makanan sihat ini boleh juga dimakan oleh orang lain dan mereka yang nak diet. Saya sudah menggabungkan resipi ini supaya boleh dinikmati oleh semua orang,” katanya tentang makanan sejuk beku pai ayam dan daging yang dihasilkan.

Kolaborasi antara Suzy dan Nisa tidak terhad kepada Set Berpantang dan resipi sihat saja, malah turut membabitkan produk The Real Support Bra by Mama Boss iaitu bra yang selesa untuk wanita menyusu.

Bra keluaran Mama Boss yang diperkenalkan oleh Junita Rashid, anak Nisa itu bukan saja memudahkan para ibu untuk mengepam susu tapi ia juga selesa dipakai oleh semua wanita.

Suzy dan Nisa berharap kerjasama mereka dapat memudahkan wanita yang bersalin dan sekali gus membantu suri rumah menjana pendapatan dengan menjual produk yang dihasilkan.